Jom baca Berita Harian..
PARIT BUNTAR: Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga
2050 dalam menentukan hala tuju masa depan untuk sektor sumber air
berdasarkan kajian semula sumber air negara dilancarkan oleh Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Muhyiddin berkata, DSAN penting ke arah merintis proses memastikan
bekalan air yang terjamin pada era pembangunan ekonomi negara, khususnya
sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran dan
pertambahan penduduk yang pesat.
Katanya, DSAN yang disedia berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara
bagi 2010 hingga 2050, turut menetapkan prinsip asas sumber air negara
yang menyentuh isu air untuk makanan dan pembangunan luar bandar dengan
jelas.
“Prinsip itu menekankan mengenai perlunya sumber air yang mencukupi
untuk jaminan bekalan makanan selain membantu menaik taraf pembangunan
di kawasan luar bandar,” katanya berucap merasmikan dan melancarkan
Sambutan Hari Air Sedunia 2012 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Air dan
Jaminan Makanan’ dan DSAN di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini,
semalam.
Beliau diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri
Peter Chin Fah Kui yang turut menyampaikan Anugerah Tesis Sumber Air
dan Hidrologi kepada pemenang Dr Farah Aini Dahalan yang merangkul
Anugerah Emas Doktor Falsafah Terbaik, Roslan Zairi Mostapa (Anugerah
Emas Sarjana Terbaik) dan R Gillian Eve (Anugerah Emas Sarjana Muda
Terbaik).
Muhyiddin yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia
berkata, beliau berharap pelbagai langkah strategik untuk mengenal
pasti dan menambah sumber air negara, termasuk sumber air bawah tanah
yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber alternatif menampung
permintaan air di negara ini.
“Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
mendapati isi padu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan
berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial
sebanyak RM7.5 trilion.
“Sehubungan itu, saya berharap kajian serta pembangunan sistematik
dan menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah
pengurusan air bersepadu, dapat dipertingkatkan bagi membantu
merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di
negara ini pada masa depan,” katanya.
Katanya, Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu
(FAO) melaporkan ketika ini hampir satu bilion penduduk dunia berdepan
masalah kekurangan makanan dan nutrisi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian penduduk Perak, Pulau
Pinang dan Kedah yang tinggal berdekatan Sungai Kerian akan mendapat
faedah besar selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kerian yang kerja
utamanya membabitkan pembinaan benteng sungai sepanjang 300 kilometer
dan rumah pam.